Sabtu, 18 Oktober 2014

BANTUAN RAKYAT 1 MALAYSIA (BR1M), ADA YANG SUKA DAN ADA YANG TIDAK SETUJU

Selamat berhujung minggu, sambil-sambil melayari internet ala-ala santai di rumah adalah terbaca satu kritikan sinis berkenaan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia kepada golongan yang disasarkan sebagai layak menerima bantuan ini. Saya bukan seorang ahli politik, sekadar penjawat awam dan rakyat biasa yang tidak layak dapat bantuan ini. Apa yang terasa terusik ialah apabila nilai RM yang diberikan oleh kerajaan itu disiniskan sebagai suatu jumlah yang tidak cukup untuk diklasifikasikan sebagai untuk bermewah. Dulu RM500 sekarang bertambah nilainya disertakan perlindungan insurans. Kritikan ditujukan kepada kenyataan pak menteri yang mengatakan penerima BR1M jangan gunakan untuk bermewah dengan pemberian itu. Nilai Rm500 atau RM650 adalah berbeza nilainya jika ditafsirkan dari sudut latar sosioekonomi isirumah. Bagi yang pendapatan isirumahnya RM10 ribu sebulan nilai RM500 cukup sekadar sekali pergi berbelanja di Mydin sahaja. Bagi yang pendapatan isirumahnya RM1500 ianya adalah amat bermakna dan sebagai panadol sementara bagi penjajaran dan menampung lubang-lubang hutang yang semakin meningkat.Itupun jika tidak digunakan untuk tujuan mewah, mewah jika diukur dengan periuknya seperti untuk beli handphone baru, tukar rim kereta, beli rokok dan sebagainya.



Tidak dinafikan trend perbelanjaan isirumah semakin meningkat terutamanya perbelanjaan perumahan dan keperluan makan dan minum. Hal ini ditambah dengan penurunan harga getah dan kenaikan harga petrol amat besar kesanya kepada isirumah. Pemberian yang sedikit ini sekurang-kurangnya dapat menjadi pengubat sementara kepada kesan ini.

Walaubagaimanapun kerajaan juga perlu merangka satu pelan jangka panjang bagi mengurangkan kesan ini. Nilai BR1M yang sedikit tadi jika dijumlahkan akan menjadi nilai cecah bilion RM. Nilai ini dicadangkan jika dapat digunakan untuk belanja pembangunan atau menampung subsidi minyak mungkin akan dinikmati oleh semua pihak. Ini pandangan pihak yang tidak berapa suka selain banyak lagi pandangan yang boleh kerajaan fikirkan.

Pada pandangan sebagai rakyat biasa  BR1M tidak memberi apa-apa kesan jika kita bersyukur dan tidak merungut. Mekanisme pengurusan kewangan isirumah perlu diselarikan dengan keadaan ekonomi semasa. Ukur baju di badan sendiri, besar peruik besarlah keraknya. Ingat bila melihat ukuran baju kita besar jangan dilupa orang yang tidak mampu untuk membeli baju. Didiklah anak kita supaya bersyukur dengan rezeki yang ada dan tidak memandang rendah kepada rezeki yang diberikan oleh tuhan. Tidak ada orang yang ingin hidup susah cuma cara menjemput rezeki dan kurniaan kepadanya belum tiba lagi. Bagi yang ada ilmu dan kemahiran sama-sama kita gunakan saluran-saluran sedia ada untuk membantu mendidik umat kearah memantapkan lagi pengurusan kewangan.

* Ini adalah sekadar pandangan peribadi dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan